Khamis, 18 Jun 2009

JENDELA HIKMAH


PROFESION perguruan pada era mencabar ini tidak semudah seperti anggapan kebanyakan orang – kerjanya mudah, separuh hari dan cutinya panjang.

Sebagai arkitek sosial, guru mempunyai tanggungjawab besar, bukan sekadar memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu malah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan negara.

Justeru, kegagalan sesebuah masyarakat untuk berfungsi dengan sempurna kerap dikaitkan dengan kegagalan sistem pendidikan sesebuah negara, khususnya kegagalan guru itu sendiri.

Dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran abad ke-21, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak. Ia kerana masalah sosial wujud selari dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia.

Kegagalan membentuk masyarakat berakhlak mulia sama seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini. Firman Allah bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebagai sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah ar-Rum, ayat 41)

Dalam hubungan ini, kita seharusnya mengambil iktibar dengan mencontohi asas yang dilakukan oleh Rasulullah SAW iaitu dengan membentuk akhlak mulia.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia." (Hadis riwayat Ahmad dan Al-Hakim).

Dan penjelasan Baginda dalam hadis yang lain bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).

Antara cara terbaik membentuk akhlak mulia ialah dengan teladan baik. Guru perlu memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga. Mereka juga perlu bersikap suka membantu dan membimbing serta berperanan sebagai role model kepada pelajar.

Kehadiran alaf baru yang diwarnai dengan kebangkitan revolusi maklumat dan multimedia, amat besar pengaruhnya terhadap penyebaran sistem maklumat. Ia bukan saja memberi kesan terhadap pembinaan minda generasi muda, malah mencorakkan gaya hidup yang amat unik di kalangan mereka.

Pendidikan tidak dibatasi dengan meletakkan guru sebagai fasilitator semata-mata. Konsep fasilitator dalam konteks budaya bestari mesti mampu menghubungkan kemajuan teknologi sebagai alat.

Kandungan maklumat pula mesti mampu membangunkan sahsiah. Aspek keinsanan seperti hubungan guru dengan murid mesti dalam konteks guru sebagai model contoh yang memberikan imej teladan.

Pembentukan ciri seseorang guru yang amat berkesan perlu ditekankan. Ia boleh dikategorikan kepada tiga aspek iaitu:

l Ciri peribadi yang menjelaskan perwatakan

Guru mesti seorang yang berwawasan dan menyintai pekerjaannya. Mereka perlu bersikap positif dan yakin dalam apa yang dilakukan, di samping sabar menerima kenyataan biarpun pahit untuk ditelan.

Guru hendaklah membimbing dan menunjuk ajar bukan saja anak didik, malah rakan sejawat.

# Ciri mengajar memberikan hasil.

Guru perlu menerapkan aspek 'dengannya' (with-it-ness) dalam apa juga yang dibuat atau muridnya mesti buat.

Mereka juga perlu mempunyai gaya tersendiri, sesuai dengan semua keadaan dan persekitaran, nilai dan budaya dan undang-undang.

Guru juga perlu memiliki kepakaran memotivasi dan berkesan dalam penyampaian pengajaran serta pembelajaran.

# Ciri intelek yang menunjukkan ilmu, sedar-diri dan faham-kendiri.

Guru perlu suka membaca dan mempunyai mental life segar, berkembang serta bersifat self-actualization dengan minda yang sihat serta terbuka. Melihat alam dan kehidupan di dalam ruang lingkup yang luas dan menyeluruh, di samping melihat, menganalisis, mensintisis dan menilai satu di dalam yang banyak.

Sungguhpun masyarakat menyedari pentingnya tanggungjawab guru, tugas mendidik sepenuhnya dalam konteks pendidikan sepanjang hayat amat tidak wajar diserahkan 100 peratus pada guru.

Selain komitmen yang dituntut daripada guru, ibu bapa, ahli masyarakat dan pihak kepemimpinan pada semua peringkat sewajarnya berganding bahu bagi menghasilkan peribadi insan cemerlang. Ia bukan sekadar untuk kejayaan di dunia, malah akhirat.

Tugas guru mulia dan disanjung tinggi kedudukannya dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu, maka dia mendapat pahala orang yang mengamalkan ilmu itu, pahalanya tidak kurang sedikit pun daripada pahala orang itu." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan seluruh malaikat-Nya serta penghuni langit dan bumi, sehingga semut yang ada di dalam liangnya dan ikan yu, semuanya memohon kerahmatan ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Said Bin Jubair meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: “Orang yang mengajar orang lain akan kebaikan, seluruh makhluk Allah termasuk ikan di laut memohon keampunan Allah untuknya.”

INTI PATI
# Kegagalan masyarakat untuk berfungsi dengan sempurna kerap dikaitkan dengan kegagalan sistem pendidikan negara.

# Antara cara terbaik membentuk akhlak mulia ialah dengan teladan baik.

# Guru mesti berwawasan dan menyintai pekerjaannya.

# Guru perlu memiliki kepakaran memotivasi dalam penyampaian pengajaran.

0 ulasan: